Tuesday 2 August 2011

RAMADHAN 2

SUNRISE RAMADHAN 2


Renungan Ramadhan 2

Saudara-saudari yang dirahmati Allah, Allah swt berfirman, maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kami berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa .
(Surah al-Baqarah: 183)

Ayat ini merupakan ayat yang menitahkan fardhu puasa pada tahun kedua hijrah. Di samping menyatakan kewajipan puasa, ayat ini juga menyatakan tujuan dari ibadah puasa kita “agar kamu bertaqwa”. Darjah taqwa ialah darjah tertinggi yang boleh dicapai oleh seorang hamba. Orang yang bertaqwa dijanjikan surga oleh Allah:

“ Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya”
(Surah al-Qalam:34)

“ Dan bersegeralah kepada keampunan dari Tuhan-mu dan syurga yang bidangnnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah ali-Imran: 133)

Saudara-saudari yang dirahmati Allah, Orang-orang yang bertaqwa akan memperolehi hidayah yang Allah turunkan di dalam al- Quran:

“Alif, Lam, Mim. Kitab al-Quran ini tidak ada keraguan di dalamnya petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. “
(Surah al-Baqarah: 1-2)

Orang-orang yang bertaqwa bukan sahaja mendapat kejayaan di akhirat bahkan layak mendapat bantuan Allah di dunia lagi. Firman Allah bermaksud:

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”
(Surah at-Talaq: 2-3)

Orang-orang bertaqwa merupakan orang yang paling mulia di sisi Allah:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa dari kalangan kamu”
(Surah al-Hujurat: 13)

Saudara-saudari yang dirahmati Allah, Oleh itu, taqwa adalah darjat yang begitu tinggi, yang melayakkan seseorang menjadi orang paling mulia, dijanjikan syurga, diberikan hidayah dan keampunan serta diberikan
bantuan sejak di dunia lagi. Pasti untuk memperolehinya agak sukar. Namun kini peluangnya terbuka luas dengan tawaran istimewa dari Allah SWT. Janji Allah, jika kita berpuasa dengan sebenar puasa, pasti kita kan mencapai darjat taqwa. Marilah sama-sama kita berdoa dan berusaha untuk memastikan agar puasa kita
Ramadhan ini mampu melonjakkan kita ke darjat taqwa. Amin.

oleh : Dr. Hj. Omar bin Yaakob

Monday 1 August 2011

Ramadhan 1

Sempena ramadhan ini saya cuba akan lengkapan diari ramadhan...berserta sedikit renungan ramadhan ke arah Ramadhan yang lebih bermakna


Renungan Ramadhan 1
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya, kita dipanjangkan usia untuk berada di awal Ramadhan. Inilah yang sering kita doakan :
“ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”
Kita juga bersyukur kerana malam ini kita dapat bersama dalam majlis solat terawih,salah satu sunnah yang amat diberatkan di bulan Ramadhan. Semoga Allah memanjangkan umur kita bagi memperoleh segala keberkatan Ramadhan dan mengekalkan kita dengan iltizam dan komitment kepada solat terawih. Saudara-saudari yang dirahmati Allah, Rasulullah (saw) diriwayatkan sebagai bersabda ketika menjelang Ramadhan
bermaksud:

“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan ditambat para syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi.”
(Hadis riwayat Ahmad dan An-nisai)
Demikian bunyi pengumuman yang dibuat oleh Rasulullah (saw) setiap menjelangnya Ramadhan.
Pengumuman ini membayangkan bahawa kedatangan Ramadhan adalah satu peristiwa yang amat bermakna bagi mukmin. Puasa pada siang harinya adalah salah satu syi’arnya yang penting. Tetapi bukan itu sahaja yang terdapat di bulan ini. Adalah rugi kiranya kita terlepas dari mendapat manfaat dan keberkatan lain yang begitu banyak di dalamnya. Rasullullah (saw) menegaskan bahawa Ramadhan bukan sahaja bulan kita berpuasa
tetapi ia datang dengan penuh keberkatan, yang mana jalan untuk beramal begitu luas terbentang, jalan untuk mendapat pahala berlipat ganda dipermudahkan, jalan ke arah dosa dipersempitkan. Ini merupakan pemberian Allah yang tiada-tolok bandingnya. Nah.. jika begitu. Kita tanyakan diri kita pada malam pertama ini. Mahukah kita menerima tawaran dan pemberian Allah ini? Mahukah kita menjadi hamba-Nya yang mendapat keberkatan lailatul qadr yang lebih baik dari seribu bulan yang bersamaan lebih 83 tahun.. mungkin melampaui kadar umur kita?Sebaliknya ingatlah pesanan di hujung hadis tersebut:  

“Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi”.

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Maka pada malam ini, marilah kita tetapkan niat kita untuk menimba sebanyak mungkin keberkatan di bulan Ramadhan. Pada malam ini, kita tingkatkan komitment kita untuk rakus dan haloba mencari pahala. Malam ini juga kita pasang janji kita untuk berlumba memanfaatkan masa yang begitu terhad untuk beramal dan beribadah. Pada malam ini kita bulatkan tekad untuk tidak tergolong ke dalam golongan yang rugi.

oleh
Dr. Hj. Omar bin Yaakob